Friday, April 26, 2013

AKU & KELUARGA - MAKAN LAGI JALAN TERUS

Bismillah..Alhamdulillah hi Robbil 'Alamin..Syukurnya ke hadrat Allah Subha Nahu Wa Ta'ala..Tuhan pemilik sekalian alam yang menguasai langit & bumi serta segala isi keduanya. Selawat & salam ke atas junjungan mulia Khotimul Anbiya Nabi Muhammad Salallahu 'Alaihi Wasallam..Sungguh jasa baginda tidak mampu & mustahil untuk aku insan kerdil membalasnya. Terima kasih Ya Rasulullah..

Maka kali ini aku menesio yang lemah ini kembali lagi untuk mencoret sekelumit pengalaman hidupku dalam bentuk penulisan untuk tatapan generasi terkemudian (konon-kononnya). Seperti sekuel sebelumnya kali ini aku merakamkan kembali perjalananku bersama saudara-saudaraku menuju destinasi seterusnya iaitu Kemaman-Besut dengan misi melawat tapak projek perumahan.

Kali ini aku memulakan perjalanan di waktu malam dan seperti sebelumnya perut harus dipenuhkan terlebih dahulu bak kata ibu penuh perut bodo. Jadi aku singgah dahulu makan di sebuah kedai yang tidak asing lagi bagi Lt. RAJD & Cik Paskau untuk menjamu selera. Aku makan sate & nasi kampit dalam kuantiti yang mampu untuk perutku menerimanya tanpa mempedulikan apa natijahnya nanti..
SATE & NASI KAMPIT JAH
Gambar nasi lemak & air dalam jag itu sekadar hiasan semata-mata dan bukan milik aku sepenuhnya. Walaupun pada zahirnya kelihatan aku yang memilikinya namun hakikatnya ia milik seseorang yang lebih layak & sepadan muatan dengan tangkinya. Dan aku hanya menggunakan kedua objek tersebut sebagai hiasan semata-mata. Dan aku menafikan sekeras-kerasnya nasi lemak & air dalam jag itu bukan milikku. Aku hanya bimbang disalah anggap sebagai menesio yang pelahap & melampaui batas. Apa pun sebagai menyokong penafian aku itu maka aku sertakan bersama bukti yang menafikan kedua objek itu bukan milikku..
PEMILIK NASI LEMAK & AIR DALAM JAG
Hahaha..Sekadar iklan untuk merehatkan minda yang kepenatan dalam menggamit kembali memori alam nyata untuk aku luahkan dalam pos kali ini.

Selepas makan aku yang kekenyangan menuju ke kereta dan memasuki ruang sebelah pemandu untuk merehatkan diri. Seperti biasa Lt. RAJD memandu kereta kerna aku yang keletihan pulang dari tempat kerja masih belum mampu untuk memandu melibatkan perjalanan jarak jauh. Tanpa banyak bicara perlahan-lahan aku menyesuaikan tempat berlabuh lalu aku pun merebahkan badan dan terus menghayati keindahan ciptaan Allah dalam fikiranku yang hanyut dibawa arus kepenatan dalam mencari rezeki.
IBU LINDUNG ANAK
3 BERADIK TIDUR
Sedar tidak sedar aku telah sampai di Besut. Pagi esoknya bangun sahaja dari tidur selepas solat Subuh aku pun keluarlah menikmati udara pagi namun tiba-tiba telingaku menangkap satu bunyi sewaktu membersih lantai rumah. Bunyi anak kucing mengiau bisik hatiku. Aku pun mencari arah bunyi itu dan benarlah memang bunyi tersebut bunyi anak kucing mengiau. Anak kucing yang baru dilahirkan berjumlah 3 ekor sambil dijaga ibunya. Cik Paskau yang kebetulan keluar lalu mengambil anak kucing tersebut dan masukkan ke dalam besen agar lebih terjamin keselamatannya.

Setelah selesai semuanya aku bersama keluarga pergi melawat tapak projek perumahan. Sampai di sana sempat juga melihat rangka rumah yang baru dibina. Apa lagi aku terus merakan gambar yang mana aku rasa menarik untuk dimasukkan ke dalam blog ini. Gembiranya rasa bila berada dalam suasana kampung yang aman damai. Sunyi dari keserabutan bandar. Angin yang bertiup mendamaikan walaupun panas terik matahari petang memedihkan kulit. Terasa sungguh tenang.
ADO GAYO KONTRAKTOR KO??
Alhamdulillah sungguh aku suka berada di sini.
Rupa-rupanya bukan aku seorang jah yang suka berada di sini ahli kelab aku pun turut sama gembira bila sampai sahaja dalam hutan ini. Aku datang bersama-sama abah & ma pada awalnya setelah itu datanglah tentera-tentera bersekutu yang tidak mahu ketinggalan untuk menikmati keindahan & ketenangan suasana hutan ini. Mereka turut melawat & memerhatikan kerja-kerja pembinaan yang dijalankan oleh abang-abang yang baik & rajin serta tidak sombong. Mereka sangat mesra bila ditegur & kelihatan amat menghormati kedatangan kami ke tapak perumahan tersebut.
ABANG PEKERJA YANG BAIK
Aku terus merakamkan seberapa banyak gambar yang boleh agar dapat dilihat kembali pengalaman selama berada di tapak perumahan tersebut.
SITE MANAGER MERENUNG HASIL KERJA 
LTM. SR PUN ADA 
Masing-masing tidak pedulikan rasa kepanasan yang melanda kerna rasa ingin tahu dan teruja mengatasi segalanya di waktu itu. Rasa ingin melihat struktur bangunan rumah yang dibina itu membuatkan ahli kelab melayan pandangan mata dan meneliti susun atur kayu-kayu yang terpacak dan dibentuk menjadi dinding asas bagi pisahan-pisahan antara ruang bilik dan ruang tamu serta dapur.
DELEGASI MENELITI RANGKA RUMAH
FOKUS INSAN BERBAJU MERAH
Namun begitu ada juga antara peserta yang tidak fokus tentang apa yang sedang berlaku di masa tersebut contohnya seperti watak di dalam gambar di atas, hehehe..

Dalam keasyikan aku merakam gambar suasana di tapak projek perumahan itu, aku tidak sedar bila masanya dua saudaraku tiba. Apa lagi aku pun terus merakamkan gambar mereka. Dan untuk mengelakkan timbulnya perasaan dengki sesama mereka lalu aku rakam lagi gambar dua saudaraku maka 2+2=4 jadilah ada gambar berdua dan gambar berempat.
4 PENDEKAR
2 PENDEKAR
Dah selesai sesi bergambar untuk mereka berempat, aku teruskan pula merakam seorang lagi saudaraku yang ingin beraksi secara solo. Sebenarnya niat dia nak tunjuk baju dia bertulis Save Gaza Palestine tapi dia cepat-cepat beralih arah menunjukkan tapak rumah yang sedang dibina agar niatnya untuk menyohor tidak terlalu terdedah hehe..
TRIBUTE TO GAZA
Setelah lama menghabiskan masa di tapak projek perumahan itu tibalah masanya untuk aku dan keluarga beransur pulang ke rumah. Sebelum pulang aku sempat merakam beberapa keping gambar lagi sebagai penutup bagi lawatan aku ke projek perumahan ini.
SUASANA SEBELUM PULANG
Alhamdulillah..Sekian dulu aku bercerita kali ini, Insyaallah dengan izin Allah Yang Maha Pemurah pasti aku mencoret lagi dalam blog yang tidak seberapa ini. Walaupun serba kurang namun aku sayangkan blog ini kerna ia menghimpunkan kenangan aku selama berada dalam dunia yang fana ini sementara aku kembali pulang ke kampung halamanku yang sebenar menghadap penciptaku yang sangat aku takuti untuk bertemu denganNya..Wallahu A'lam!

W.K AZIZ

No comments:

Post a Comment

ISTERIKU DUNIA & AKHIRAT

ISTERIKU DUNIA & AKHIRAT