Monday, May 20, 2013

FELDA CHIKU GUA MUSANG

BERGAMBAR BERSAMA USTAZ HAMDAN & KELUARGA
Bismillahhi Rohmannir Rohim..Allahu Massoli A'la Saidina Muhammad Wa'ala Alihi Wasohbihi Wasallam..

Syukur..Itulah kewajipan kita sebagai hamba yang lemah hendaklah selalu bersyukur ke hadrat Allah Al Kholiq. Dia Yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasihani banyak memberi nikmat untuk kita.

Aku sebenarnya diuji Allah dengan kesakitan yang bertujuan menghapuskan dosaku. Dua tiga hari aku tidak mampu untuk makan seperti biasa kerna perutku tidak mahu menerima makanan. Asal makan muntah semula. Biarlah mungkin ada hikmahnya aku sakit begini. Dua kali ke klinik disebabkan keadaan semakin teruk. Namun aku pasrah memohon doa ke hadrat Allah agar aku sembuh kembali.

Alhamdulillah, walaupun tidak berapa kuat lagi namun aku mampu bangun untuk menaip dalam blog ini. Terkenang kembali pengalaman sewaktu aku bersama sahabatku Ustaz Wanzi & Mat Yie menuju ke Gua Musang untuk menghadiri majlis perkahwinan sahabat kami iaitu Ustaz Hamdan. Sungguh gembira hati kerna inilah perjalanan yang paling jauh aku pernah pergi selama tinggal di bumi Kelantan.

Setelah bersiap apa yang perlu kami pun terus bertolak dari Kota Bharu lebih kurang pukul 9 pagi. Aku yang amat teruja bagaikan tidak sabar hendak tiba di Gua Musang. Walaupun kisah ini telah lama berlalu namun kenangan bersama sahabatku sangat berharga. Setelah melalui perjalanan yang aku rasakan amat jauh akhirnya kami berhenti seketika di stesen minyak Kampung Guchil. Bayangkanlah dari Kota Bharu kami melalui Kuala Krai itulah perhentian pertama disebabkan mata aku sangat mengantuk.

Setelah rasa segar aku pun meneruskan perjalanan. Dari Kuala Krai kami melalui kawasan bukit bukau dan hutan ceram di sekeliling. Namun entah mengapa hati aku berasa amat tenang dengan suasana begitu. Jauh dari suasana bandar yang sibuk. Melalui kawasan perkampungan Felda kenderaan kami terus meluncur meninggalkan pekan Kuala Krai dan melalui Kampung Pahi.

Akhirnya kami tiba Kampung Derdap dan terus melalui jalan Kampung Sungai Peria hingga bertemu Kampung Tanjung Batu. Perjalanan kami pada pagi itu tidaklah membosankan kerna cuaca yang begitu sejuk & dingin menghiburkan kami bertiga. Dalam berbual-bual ada juga aku diam bila melihat Ustaz Wanzi & Mat Yie terlelap kerna mengantuk barangkali perjalanan jauh ditambah suasana yang selesa di dalam kereta. Aku tersenyum sendirian.

Akhirnya kami tiba di Kampung Manik Urai. Dari situ terus menyusur ke Kampung Lakloh. Dari Lakloh kami teruskan lagi perjalanan hingga kami tiba di kawasan Felda Aring. Memang benar perjalanan kali ini amat jauh disebabkan kawasan yang kami lalui tidak pernah kami rasai suasana sedemikian. Aku sebagai pemandu berasa agak penat namun disebabkan kami mengembara secara santai tidak terasa keletihan itu tambahan Ustaz Wanzi yang amat kelakar sentiasa berbual menceritakan kisah-kisah yang lucu.

Itulah kelebihan sahabatku ini. Ustaz Wanzi perwatakannya nampak agak garang namun hakikatnya amat berbeza sekali. Itulah sebabnya bila dia ada bersamaku aku tidak akan berasa bosan atau pun sunyi. Aku meneguk air Nescafe yang dibeli di stesen minyak kerna terasa badan sedikit penat. Sedar tidak sedar kami akhirnya tiba di Felda Perasu. Dari Felda Perasu ini aku terus memandu kerna mengikut papan label jalan ke Gua Musang tidaklah jauh lagi.

Nampak sahaja label Felda Chiku 01 di sebelah kiri jalan hati aku terasa sangat gembira Alhamdulillah syukur tidak terkira. Akhirnya dengan izin Allah kami sampai juga di rumah Ustaz Hamdan. Ketika kami tiba Ustaz Hamdan sedang sibuk melayan tetamu yang hadir. Kami bersalaman sambil berpelukan dan Ustaz nampaknya sangat gembira dengan kehadiran kami. Aku selepas bersalaman dengan Ustaz Hamdan terus menuju ke meja makan kerna perutku amat lapar. Masing-masing makan dengan tidak berbunyi sepatah perkataan pun.

Setelah kenyang kami pun mandi-mandi & solat. Aku berehat sebentar kemudian selepas bersedia kami pun memohon diri untuk pulang semula ke Kota Bharu. Sebelum pulang aku meminta agar dirakam sekeping gambar sebagai kenangan kami berkunjung ke Gua Musang..Wallahu A'lam!

W.K AZIZ

Saturday, May 11, 2013

PEJABAT DAERAH & TANAH KUALA TERENGGANU

HADAPAN TAMAN PEJABAT TANAH KT
Bismillahhi Rahmannir Rohim..Alhamdulillahhi Robbil A'lamin. Wassola ti Wassalam A'la Asyrofil Anbiya Iwal Mursalin Saidina Muhammad Waa'la Alihi Wasohbihi Ajmai'n..

Syukur ke hadrat Allah kerna aku kini diberikan banyak kesempatan untuk mengemaskini blog ini. Jadi syukurlah kerna masa terluang yang ada boleh aku tumpukan untuk siapkan blog ini.

Kali ini seperti sebelumnya aku berkesempatan untuk hadir di Pejabat Tanah Kuala Terengganu kerna urusan tanah pusaka keluarga yang ada sedikit kesamaran. Urusan pada awalnya perlu diselesaikan di Kg Raja sahaja namun disebabkan kesamaran tersebut maka kami lanjutkan ke Kuala Terengganu.

Perjalanan kali ini aku teruskan bersama Tok Bilal & isteri, Cek Ta, Su Ani, Muteh, Wodek & tidak lupa pemandu hebat iaitu Ltm. Jebon. Dari Kg Raja kami terus ke Kuala Terengganu kerna masa yang ada amat singkat disebabkan urusan tersebut harus disiapkan hari itu juga. Sebelum sampai sempat kami singgah makan dahulu.
PENUHKAN PERUT DAHULU
Setelah itu barulah kami meneruskan perjalanan ke Kuala Terengganu. Tiba di sana kami ke pejabat peguam terlebih dahulu untuk menyelesaikan hal-hal berkenaan. Dari pejabat peguam kami menuju pula ke pajabat tanah. Di sana hanya mereka yang layak sahaja dibenarkan masuk. Aku pun layak juga namun aku lebih suka berada di luar kerna aku mahu merakam gambar & panorama menarik. Kali ini model yang ada Muteh & Wodek.
WODEK DI KOLAM KOSONG
WODEK DI KOLAM IKAN
Aku amat suka merakam gambar di tepi kolam kerna hiasannya sangat cantik & menarik dipandang mata. Walaupun gambar-gambar yang ada tidak banyak namun aku gembira sekurang-kurangnya aku dapat juga merakam kenangan sewaktu berkunjung ke pejabat tanah Kuala Terengganu ini.
BINAAN PASU MENCURAH AIR
Agak lama mereka yang lain berurusan di dalam pejabat namun masa yang berlalu tidak begitu dirasai kerna aku sibuk merakam gambar menarik di sekitar kawasan pejabat tanah ini.
LIHATLAH BINAAN YANG INDAH ITU
Hajat di hati aku ingin merakam banyak lagi gambar yang menarik namun baru sahaja hendak melangkah Muteh memanggil aku. Aku berpaling ingatkan ada hal penting rupanya dia mahu aku merakamkan gambarnya. Buat suspen sungguhlah..
MUTEH PUN INGIN BERGAMBAR
Sejurus kemudian Wodek mahu sekeping lagi gambarnya dirakam. Untuk tidak menghampakan permintaanya aku pun rakamlah sekeping lagi.
GAMBAR WODEK SOLO
GAMBAR HIASAN
Baru hendak merakam gambar lain kedengaran suara mereka yang berada di dalam pejabat keluar kerna urusan yang dijalankan telah siap dengan jayanya. Lalu aku pun meneruskan langkah kakiku untuk pulang ke Besut semula. Namun sebgai kenangan terakhir sempat aku rakamkan sekeping gambar penghabisan untuk tatapan dalam blog ini..Wallahu A'lam!

W.K AZIZ

Friday, May 10, 2013

ZIARAH KE HUSM KUBANG KERIAN

Bismillahhir Rahmannir Rahim..Allahu Massoli A'la Saidina Muhammad Wa A'la Alihi Wasohbihi Wasallam..

Syukur ke hadrat Allah dan salam takziah buat sepupu aku yang sedang sakit di HUSM Kubang Kerian. Semoga dengan rahmat Allah beliau sembuh seperti sediakala Insyaallah sama-sama kita doakan. Pos aku kali ini tidak lain adalah untuk menceritakan kembali perjalananku ke HUSM Kubang Kerian untuk menziarahi sepupu aku ini. Beliau sakit akibat tekanan darah yang tinggi dan kemudian rebah di rumahnya.

Sebaik sahaja aku dan keluarga mendapat berita tersebut, dengan izin Allah kami pun bertolak balik menuju terus ke bumi Kelantan. Negeri bertuah rakyat sayang menyayang rindu sungguh aku bumi bertuah ini. Diringkaskan cerita maka setelah kami sampai di hospital Kubang Kerian kami terus menuju ke wad sepupu aku itu.

Dalam perjalanan menuju ke wad kami bertembung pula dengan seorang lagi sepupu aku iaitu Kaklong yang tinggal di Kg Gong Pacat. Gembira bukan kepalang lalu kami bersama-sama menuju ke wad. Tiba di wad kami melihat sepupu yang sakit. Sungguh sayu melihat keadaannya. Aku berdoa agar Allah menyembuhkan beliau dan kembalikan kesihatannya. Namun keadaannya semakin stabil menurut kata doktor hanya menunggu beliau sedar. Aku duduk seketika sambil berbual-bual apa yang patut dengan mereka yang hadir di situ.

Selepas berbual seketika aku keluar dari wad untuk solat Asar kerna masa agak lewat waktu kami tiba tadi. Bertembung pula dengan Abang Wan yang baru tiba dari Setiu lalu kami pun solat Asar bersama. Setelah selesai solat kami pun kembali ke wad.
KAKLONG, ABANG WAN & MOKSU
Selepas tamat waktu melawat kami turun ke tingkat bawah. Kaklong pula mengajak aku dan keluarga pergi ke Tesco kerna dia tidak pernah lagi sampai di sana. Tanpa banyak soal aku bersetuju. Sebelum sampai di kereta sempat kami menghilangkan lenguh-lenguh urat sendi di atas kerusi urut yang disediakan.
HILANG LENGUH DULU
Gembira rasanya melihat mereka bertiga ceria selepas duduk di kerusi urut. Aku pun tidak melepaskan peluang sampai dua kali duduk baru puas hehehe..Kemudian kami meneruskan perjalanan ke Tesco Kota Bharu. Kami tiba di Tesco dalam waktu Maghrib dan kami solat dahulu barulah kami masuk ke dalam ruang makan atau Foodcourt di bahagian bawah. Aku pesan makanan biasa jah iaitu Nasi sup belut.
NASI SUP BELUT TESCO
Mereka yang lain memesan makanan yang memenuhi selera masing-masing. Paling aku suka Abang Wan yang mengeluh kerna makanan beliau terlalu banyak mungkinkah boleh dihabiskan katanya hehe..
ABANG WAN YANG KELAKAR
Kaklong & anak-anak pun nampaknya cukup gembira menikmati hidangan yang dipesan. Buat mereka yang pertama kali sampai di Tesco ini, suasana begini mungkin agak baru namun aku lihat riak wajah mereka begitu teruja & gembira.
KAKLONG & ANAK-ANAK BERSELERA TU
Namun bagi aku budak-budak anak Abang Wan yang paling gembira. Mereka siap pesan aiskrim lagi seorang satu. Kakak dan adik sama-sama berselera makan dan sangat gembira menikmati aiskrim yang dipilih.
AISKRIM ADIK & KAKAK
Rupa-rupanya bukan budak kecil sahaja yang suka makan aiskrim. Anak-anak dara Kaklong pun turut sama memesan aiskrim. Namun disebabkan aiskrim yang dipesan banyak mereka terpaksa berkongsi. Aku pun mencadangkan untuk minta segelas lagi aiskrim namun mereka tidak mahu kerana bimbang membazir. Yang ada pun belum tentu habis hehe..
HABIH KO DOK TU ALONG?
Aku yang telah siap menghabiskan Nasi sup belut berasa terliur pulak melihat budak-budak ini makan aiskrim apa lagi aku pun pesan segelas lagi aiskrim special untuk aku. Budak-budak ni ketawa disebabkan aku pun turut sama makan aiskrim tidak padan dengan tua katanya Kaklong hehe..Tua pun nak makan aiskrim jugak Kaklong.

INILAH AISKRIM AKU YUM..YUM
ALONG & ANGAH
Gambar aku makan aiskrim tidak dapat aku masukkan di sini kerna gambar tersebut ada dalam telefon dua beradik ni. Tidak mengapalah cukuplah dahulu aku bercerita. Selepas makan kami pun naik membeli belah di tingkat atas Tesco ini dan kemudian terus ke Kg Gong Pacat menghantar Kaklong & anak-anak sebelum kami pulang ke rumah semula..Wallahu A'lam!

W.K AZIZ

Sunday, May 5, 2013

AKU & JAGUH - KEMBARA KE KUANTAN

Bismillahhi Rahmannir Rahim..Allahhum Massoli A'la Saidina Muhammad..

Alhamdulillah bersyukur ke hadrat Allah yang segala urusan terjadi dengan izinNya. Andai Allah mahu pasti terjadi & andai Allah tidak mahu pasti tidak akan terjadi. Allah yang kekuasaanNya mutlak. Tiada yang sebanding dengan Allah kerna Dialah Yang Maha Esa, Maha Tunggal, Maha Besar lagi Maha Gagah Perkasa.

Aku ini hambaNya yang tersangat hina, kotor dan tidak bernilai hatta seurat bulu roma pun di sisiNya Yang Maha Mulia. Namun dengan sifat Maha Pemurah lagi Maha Pengasihani Allah itu, aku dapat lagi meneruskan perjuanganku dalam mencoret kenanganku dalam blog ini syukur sangat-sangat ke hadrat Allah Yang Maha Tinggi.
AKU & JAGUH
Kali ini aku bersama Ltm. Jebon & Cik Paskau serta MGK kembali meneruskan kembara namun kali ini kaedahnya agak berbeza kerna aku menggunakan pacuan dua roda dan bukan empat roda seperti sebelumnya. Kali ini aku menunggang Modenas Jaguh 175cc yang pertama kalinya dirakamkan oleh jurukamera khas Ltm. Jebon.

MGK bersama aku menunggang pacuan dua roda dan kami diiringi Ltm. Jebon & Cik Paskau yang menaiki kereta. Kerna aku pertama kali menunggang ke Kuantan maka aku minta pasukan pengiring menunjukkan jalan dan syukurlah mereka adalah pakar dalam bidang tersebut. MGK juga tidak jemu-jemu menunjukkan arah agar aku tidak terpesong arah jalan.
SEIRING & SEJALAN
MGK SELAKU PENUNJUK ARAH
MGK MEMBETULKAN HALUAN
Aku sebenarnya bukan tidak biasa ke Kuantan ini tetapi kadang-kadang aku keliru kerna jalan-jalan yang dilalui kadang-kadang kelihatan sama walaupun berada di tempat yang berbeza. Sebab itu walaupun berkali-kali aku ke Kuantan namun aku tetap tidak dapat menyerap bentuk muka bumi Kuantan. Mungkin kerna jiwa aku tidak sesuai barangkali di bumi Kuantan, mungkin..

Namun demikian apabila tiba di suatu tempat yang tertentu dengan tidak semena-mena ingatanku bagaikan pulih dengan sendirinya seolah-olah aku cukup arif dengan tempat tersebut. Ini keadaannya yang menghairankan aku.

Sebagai contoh sepanjang perjalanan menyusuri lebuhraya aku tetap mengikuti MGK yang mendahului sementara Ltm. Jebon & Cik Paskau mengiringi. Namun bila saja tiba di Kawasan Perindustrian Semambu aku dengan selambanya mendahului MGK dan tanpa bantuan pasukan pengiring aku berjaya tiba ke destinasi terlebih dahulu.
ISYARAT AKU TELAH PASTI HALA TUJUKU
Alhamdulillah semua itu dengan izin Allah semata-mata bukan hasil kebijaksanaan aku pun. Apa yang pasti perjalananku kali ini banyak mengajarku erti yakin dengan kemampuan diri sendiri dan janganlah merasa diri sempurna kerna sebijak & sehebat mana pun kita, kita tetap akan memerlukan orang lain. Itu secara kasarnya dan secara hakikatnya siapalah kita ini jika tiada Allah yang menolong. Ibarat bangkai bernyawalah jawabnya.
APA LAGI VROOM..
AKU MENDAHULUI MGK DAN BERADA DI DEPAN
Sepanjang menunggang aku berfikir sungguh besar nikmat Allah berikan pada aku. Apa yang aku alami sekarang dahulunya hanya satu angan-angan semata-mata. Aku selalu berangan-angan sewaktu aku masih di bangku sekolah bahawa aku ingin menunggang sebuah motor berkuasa besar berseorangan sambil menikmati keindahan ciptaan Allah Yang Maha Bijaksana. Tanpa sedar dadaku sebak dan air mataku bergenang di pelupuk mata. Allahu Akhbar. Allah benar-benar menunaikan impian aku itu. Aku rasa ingin menangis sepuas-puasnya namun tetap aku tahan disebabkan aku sedang memegang handle motor ketika itu. Aku melafazkan Alhamdulillah untuk kenikmatan yang aku rasakan itu. Sungguh benarlah Allah Maha Pemurah lagi Maha Pengasihani..
STRAIGHT TO THE POINT
Aku terus berada di depan dan MGK mengekori. Disebabkan keadaan trafik waktu itu agak sibuk dan pasukan pengiring agak terbatas untuk meluncur maka aku mengambil keputusan untuk mendahului dan aku pun merapatkan pulasan minyak bagi meningkatkan kelajuan dan meluncurlah jentera berkuasa 175cc ini menuju ke destinasi yang telah pun aku yakini lokasinya.

CIK PASKAU SELAKU PEMANDU PENGIRING
TERIMA KASIH MGK
Alhamdulillah dengan izin Allah kami berempat berjaya tiba dengan selamatnya di destinasi yang dituju dan dengan itu berakhirlah perjalananku ke Kuantan menunggang Modenas Jaguh 175cc kerna dalam perjalanan pulang aku menaiki kereta disebabkan Jaguh harus ditinggalkan untuk diperiksa tahap kesihatannya. Wallahu A'lam..

W.K AZIZ

AKU & KELUARGA - PERJALANAN PULANG

DI LUAR MASJID KG GEMURUH
Bismillahhir Rahmannir Rahim..Allah Humma Solli A'la Saidina Muhammad. Alhamdulillah syukur sangat-sangat aku boleh lagi hadir dalam blog ini untuk menyambung episod lepas yang belum siap lagi iaitu perjalanan pulang dari Besut-Kemaman. Setelah selesai melawat tapak projek perumahan, aku dan keluarga terus berangkat pulang. Dalam perjalanan kami singgah dahulu di masjid Kg Gemuruh sebelum melalui lebuhraya. Di masjid tersebut aku sempat juga merakamkan beberapa keping gambar yang menarik untuk aku masukkan dalam blog ini.
JALAN DI BELAKANG MASJID

Gambar posing tu sengaja aku minta tolong ahli kelab rakamkan sementara menantikan orang lain siap solat. Aku kebetulan hendak membuang air tidak sempat untuk merakam dua tiga keping lagi pose aku. Kesudahannya aku pun tergesa-gesa dengan gaduh loghak sikit berlari banyok berhungga nga air mato beline-line..Menuju ke tandas di tapak masjid lama nun jauh di belakang masjid baru.

Setelah siap melawaskan apa yang tersumbat, seterusnya aku merakam lagi gambar pemandangan kawasan masjid di belakang sana. Memang cukup cantik pemandangan tersebut walaupun bangunan lama kelihatan terbiar namun ia masih cantik dipandang.
PEMANDANGAN BELAKANG MASJID
BANGUNAN LAMA YANG MASIH UTUH
Setelah selesai segala urusan di masjid tersebut kami pun meneruskan perjalanan pulang ke Kemaman namun bukan melalui lebuhraya seperti biasa tetapi melalui jalan lama Kuala Terengganu, Wallahu A'lam!

W.K AZIZ

ISTERIKU DUNIA & AKHIRAT

ISTERIKU DUNIA & AKHIRAT